Saturday, June 7, 2014

FAHAMI ENAKMEN : Lembaga Perumahan Dan Hartanah Negeri Johor



PENYEDIAAN ENAKMEN LEMBAGA PERUMAHAN DAN HARTANAH NEGERI JOHOR
1. Penyediaan enakmen ini bertujuan antaranya untuk membolehkan pembentukan sebuah entiti yang lebih berintegrasi di dalam penyelarasan pembangunan perumahan dan hartanah di Negeri Johor.

2. Fungsi beberapa jabatan dicadang untuk digabungkan di dalam lembaga ini bagi memudahkan pihak-pihak berkepentingan menjalankan urusan berkaitan sektor perumahan dan hartanah.

3. Sebagai contoh, lembaga ini mempunyai bidangkuasa bagi membuat dasar yang kini dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri, melaksanakan segala dasar yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri yag kini dimainkan oleh pihak SUK (Bahagian Perumahan) serta bakal menjadi tempat rujukan berkaitan perkara-perkara berkaitan perumahan seperti data setinggan, perumahan kos rendah, pengendalian perumahan perumahan projek terbengkalai yang kini dijalankan oleh beberapa jabatan seperti Unit Perancang Ekonomi, SUK (Bahagian Perumahan) dan Pejabat Tanah dan Galian Johor.

4. Enakmen ini turut memberikan bidangkuasa kepada lembaga untuk melihat kepada keperluan perancangan, menetapkan panduan serta melaksanakan tindakan sewajarnya bukan sahaja kepada sektor perumahan malahan merangkumi hartanah iaitu pembangunan bersifat komersil. Ini bermakna lembaga ini akan turut berperanan sebagai penyelaras di peringkat negeri bagi melihat perkara dan isu berkaitan perumahan dan hartanah. Saya memberi contoh, sekiranya berlaku masalah projek terbengkalai samada perumahan atau hartanah lembaga akan menjadi badan yang akan berusaha bagi mencari jalan penyelesaian di mana peranan itu kini dijalankan oleh UPEN dan SUK Perumahan.

5. Peranan dan bidangkuasa seperti boleh memiliki hartanah, boleh menubuhkan perbadanan, menjalankan kajian dan mendapatkan maklumat daripada pihak-pihak berkepentingan memudahkan peranan lembaga untuk yang lebih berintegrasi di dalam perancangan pembangunan perumahan dan hartanah terutamanya di dalam pembinaan perumahan rakyat Johor.

6. Secara keseluruhannya, penubuhan lembaga akan memberi kemudahan kemudahan kepada rakyat, pihak berkepentingan seperti pemaju dan perunding di dalam menjalankan urusan berkaitan sektor perumahan dan hartanah.

No comments:

Post a Comment