Friday, May 30, 2014

PULAU BATU PUTEH: DYMM Sultan Johor menuntut agar dikembalikan semula.


 

Semalam, Tuanku Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menitahkan kerajaan negeri Johor menubuhkan pasukan khas mengkaji untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Pulau Batu Puteh.
 

Sultan Ibrahim bertitah, langkah itu sejajar dengan pesanan ayahanda baginda, almarhum Sultan Iskandar Pulau Batu Puteh adalah milik Johor dan pulau berkenaan mesti kekal menjadi sebahagian daripada negeri Johor.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di Bukit Timbalan, Johor Bahru (KLIK)
 

Dalam perbicaraan lalu, alasan yang diberikan oleh ICJ yang memberi kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura adalah berdasarkan fakta bahawa sejak 1850-1953, Malaysia tidak ada bukti menjalankan apa-apa kegiatan ataupun yang boleh diterima sebagai bukti kedaulatan sama ada pendudukan, pemerintahan mahupun penyeliaan atas Pulau Batu Puteh.

Mahkamah juga menegaskan bahawa peta yang tertera dan diperbuat oleh Malaysia itu sesungguhnya mencerminkan juga apa-apa hal yang bersabit tuntutan Singapura. Oleh kerana pulau itu dan juga rumah api yang diletakkan di situ sebagai rumah api Horsburgh adalah milik Singapura.

Mantan Menteri Luar Malaysia ketika itu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dilapor berkata surat pegawai yang mewakili setiausaha kerajaan negeri Johor pada 1953 dianggap mahkamah sebagai bukti menyerahkan kuasa dan kedaulatan pulau itu.

Tuntutan-tuntutan lain yang diperbuat Singapura (juga) meyakinkan mahkamah bahawa Pulau Batu Puteh diserahkan kepada Singapura dalam bentuk pengawasan kedaulatan.
 

Dalam konteks yang agak berlainanlah maka mahkamah menentukan Middle Rocks adalah milik dan kedaulatan pada Malaysia.
 

Namun, menurut maklumat. Malaysia masih mempunyai peluang untuk mendapatkan semula pulau tersebut di mana pihak Mahkamah ICJ memberikan tempoh 10 tahun untuk menilai semula keputusan tersebut sekiranya pihak Malaysia mempunyai bukti-bukti terkini. Ini bermakna Malaysia boleh mengemukakan tuntutan semula kes Pulau Batu Puteh menjelang 2018.
 

Oleh yang demikian, sudah sepatutnya Pulau Batuh Puteh di miliki semula. Memang menjadi sepatutnya usaha menuntut disegerakan, memandangkan ketibaan tahun 2018 sudah semakin hampir.
 

Pastinya kesultanan Johor mempunyai pelbagai bukti dan tinggalan sejarah yang yang dapat membantu pasukan yang ditubuhkan, untuk memberi bukti kukuh mengenai pemilikan kawasan itu.
 

Titah Tuanku Sultan Johor seharusnya dijunjung. Daulat Tuanku.

Berikut, saksikan antara sedutan video mengenai isu pertikaian Pulau Batu Puteh yang disiarkan oleh RTM, pada 2008 lalu.


No comments:

Post a Comment